Showing posts with label Introspeksi Diri. Show all posts
Showing posts with label Introspeksi Diri. Show all posts

Thursday, April 21, 2011

[ID] Sedikitkan Ketawa, Banyakkan Menangis


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Berkata seorang ahli zuhud :

"Orang yang melakukan dosa dalam keadaan tertawa akan dimasukkan ke dalam neraka dalam keadaan menangis dan orang yang melakukan ketaatan dalam keadaan menangis akan dimasukkan oleh Allah ke syurga dalam keadaan tertawa."

Ketawa dan menangis adalah aktiviti fizikal khusus manusia. Bagi manusia, keduanya bersifat asasi di mana kemunculannya seiring dengan fitrah kemanusiaan yang asal.

Dalam kehidupan seharian, keduanya menjadi ''bahasa'' komunikasi seseorang yang mampu mengungkapkan rasa cinta dan kegembiraan atau rasa kecewa dan kesedihan yang memenuhi suasana batinnya.

Intimnya hubungan ketawa dan menangis dengan sisi kemanusiaan dinyatakan oleh Allah swt dalam Al Quran:

"Dan bahwasannya Dialah yang menjadikan orang ketawa dan menangis." (QS An Najm :43)

Manusia yang tidak dapat ketawa dan menangis biasanya diklasifikasikan sebagai makhluk yang berhati batu.

Sebagai aktiviti fizikal, ketawa atau pun menangis adalah "akibat", bukan "sebab".

Pada umumnya ada rangsangan atau pencetus tertentu, seperti peristiwa sosial berupa kesenangan, kegembiraan, kebaikan, keburukan, kemalangan atau kelucuan yang membuatkan situasi batin seseorang menjadi gembira atau sedih. Oleh sebab itu, kebiasaannya, ketawa atau menangis merupakan cerminan asal situasi batin.

Ketika situasi batin seseorang sedang diliputi suasana kegembiraan, ia lantas boleh ketawa. Sebaliknya ketika situasi batinnya diliputi kesedihan, ia lantas menangis.

Walaubagaimanapaun dalam menghadapi rangsangan atau pencetus tersebut, bahkan dengan penyebab yang sama, kepekaan seseorang boleh menjadi berbeza.

Ada yang begitu peka sehingga ia mudah ketawa atau menangis. Tetapi, ada pula yang tidak, sehingga ia tidak mudah ketawa atau menangis.

Bahkan orang-orang tertentu boleh "ketawa" dalam situasi batin yang penuh kesedihan dan "menangis" dalam situasi batin yang penuh keriangan. Contohnya seperti orang yang terkena suatu penyakit di mana wujud ketidakselarasan antara yang dirasakan dengan yang diungkapkan.

Oleh kerana ketawa dan menangis begitu kuat melekat dengan karakteristik kemanusiaan, maka banyak manfaat yang lahir dari keduanya yang memberi kesan kepada kesihatan ruhani dan jasmani.

Ketawa mampu memperkukuhkan kesihatan dan menangis mampu menjadi pintu untuk menambahkan beban yang berat yang menyesakkan dada.

Dalam hadis Rasulullah Nabi saw, banyak riwayat yang menceritakan bahwa Nabi Muhammad saw ketawa ketika menemui sesuatu yang menyenangkannya dan bahkan sering bersenda gurau meskipun tidak sampai melewati batas yang hak.

Nabi Sulaiman juga dikisahkan dalam Al-Qur’an ketawa ketika beliau mendengar teriakan seekor semut yang memberi arahan kepada kawan-kawannya untuk masuk ke sarang agar tidak dipijak oleh Nabi Sulaiman dan bala tenteranya.

"Maka Dia tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu." (QS An-Naml :19)

Dalam Islam, baik ketawa atau pun menangis mesti seimbang, pada tempatnya dan tetap berada dalam batas-batas kesopanan dan kebenaran. Dalam kata lain, tidak boleh melampaui batas-batas kewajaran yang dibenarkan oleh agama.

Dalam hal ketawa misalnya, tidak boleh mentertawakan kemalangan yang menimpa orang lain. Begitu juga dalam hal menangis, oleh kerana ditinggalkan oleh orang yang dicintainya, tidak boleh sampai ke tahap meratap apalagi sampai meraung-raung.

Sesungguhnya hidup ini sebuah pilihan. Pilihan untuk taat kepada kehendak-kehendak Allah swt yang terkandung dalam wahyuNya walau apapun risiko yang akan dihadapinya.

Begitu juga dalam melakukan dosa dan pembangkangan terhadapNya, ada pilihan samada untuk dunianya atau untuk akhiratnya. Sedangkan pilihan seseorang mencerminkan tahap kualiti kecerdasan akal dan ruhaninya.

Contoh lain ialah dalam menjatuhkan pilihan antara kepentingan dunianya dan kepentingan akhiratnya. Dalam menghadapi pilihan itu, ramai manusia yang bersikap terbalik iaitu tidak ada keselarasan antara hakikat dunia dan hakikat akhirat.

Kalau kita amati dengan saksama, ramai orang yang begitu cenderung untuk mengejar dunia dan segala keseronokannya sedangkan hakikat dunia yang sedang dikejarnya itu dengan sangat pasti sedang bergerak meninggalkan diri mereka.

Ramai pula orang yang membelakangkan akhiratnya, padahal setiap diri pada hakikatnya, mereka sedang menuju dan menemuinya.

Rasulullah saw bersabda :

"Manusia yang paling cerdas ialah yang paling banyak mengingati kematian dan yang paling banyak persiapannya untuk menghadapi kematian. Mereka itulah orang yang benar-benar cerdas, dan mereka akan pergi ke akhirat dengan membawa kemuliaan dunia dan kemuliaan akhirat.” (HR Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Dari Ibnu Umar ra, suatu hari Nabi saw keluar dari masjid berjumpa dengan suatu kaum yang berborak-borak dan tertawa riang. Nabi saw berhenti lalu memberi salam kepada mereka dan bersabda:

"Banyaklah mengingati pemutus kelazatan."

Di kesempatan yang lain, baginda juga keluar bertemu dengan suatu kaum yang tertawa riang lalu Baginda bersabda :

"Ingatlah, demi Zat yang aku dalam kekuasaanNya, kalau engkau tahu apa yang aku tahu, tentu kamu akan sedikit tertawa dan banyak menangis."

Ketika Nabi Khidir hendak berpisah dengan Nabi Musa as, Nabi Musa as berkata :

"Wasiatkanlah aku!"

Nabi Khidir berkata :

"Wahai Musa, takutlah engkau akan dalamnya laut, jangan berjalan tanpa keperluan, jangan ketawa tanpa sebab yang menghairankan dan jangan pula engkau salahkan orang-orang yang salah sebab kesalahan mereka dan menangislah atas kesalahanmu sendiri."

Rasulullah saw bersabda :

"Siapa tertawa semasa mudanya, dia akan menangis semasa tuanya. Siapa tertawa semasa kayanya, dia akan menangis semasa fakirnya. Dan siapa tertawa semasa hidupnya, dia akan menangis semata matinya."

Baginda saw juga bersabda :

"Banyak tertawa dapat mematikan hati."

Baginda saw bersabda lagi :

"Bacalah Al-Qur'an dan menangislah. Jika tidak boleh menangis, maka buat-buatlah menangis."

Firma Alah swt :

"Hendaklah mereka tertawa sedikit dan hendaklah banyak menangis sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan." (QS At Taubah : 82)

Al Hasan mengatakan :

"Wahai alangkah menghairankan orang yang tertawa sedangkan di belakangnya api Neraka; dan pula orang yang bersuka-suka sedang di belakangnya maut."

Pernah suatu hari dia bertemu dengan seorang pemuda yang ketawa riang. Dia berkata kepadanya :

"Wahai anakku, apakah engkau selamat meniti Siratul Mustaqim?"

Pemuda itu menjawab, "Tidak."

Dia bertanya lagi, "Apakah telah jelas bahawa engkau bakal masuk Syurga?"

Pemuda itu berkata, "Tidak juga."

Tanyanya lagi, "Lalu mengapa engkau tertawa?"

Maka setelah itu, pemuda itu tidak pernah tertawa.

Firman Allah swt :

"Mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis..." (QS Al Israa' : 109)

Rasulullah saw bersabda :

"Pada hari Kiamat, setiap mata menangis kecuali tiga mata ;

Mata yang menangis kerana takut kepada Allah.
Mata yang terpejam dari larangan-larangan Allah.
Mata yang berjaga di jalan Allah."

Ada tiga perkara yang boleh mematikan hati :

Tertawa tanpa sebab.
Makan tanpa lapar.
Berkata tanpa ada keperluan.

Ketika seseorang telah menjatuhkan pilihannya dan kemudian mengubahnya dalam bentuk perbuatan, maka pilihan dan perbuatannya itu lama kelamaan akan menjadi kebiasaan. Selanjutnya kebiasaan itu secara terus-menerus berjalan di dalam dirinya hingga membentuk keperibadiannya yang khusus.

Keperibadian seseorang itu sangat dipengaruhi oleh nilai yang diserapnya melalui penghayatan yang kemudian membentuk visi peribadinya yang kemudian menyerap ke wilayah kalbunya.

Visi yang menyerap itu kemudiannya membentuk suasana kejiwaannya yang khusus pula yang secara keseluruhannya wujud dalam bentuk mental yang dinamakan sikap.

Sikap tersebut terus berjalan dalam diri seseorang seiring dengan realiti sebenar yang dihadapinya dan seterusnya mengalir ke wilayah fizikal sehingga melahirkan tindakan atau perbuatan. Ketika sikap dan tindakannya menjadi dominan, maka secara akumulatifnya mempengaruhi kehidupannya hingga membentuk citra dirinya yang khusus.

Atas dasar itulah, seseorang boleh jadi akan ketawa terbahak-bahak ketika ia melakukan dosa disebabkan oleh citra dirinya sebagai pelaku dosa telah membuatnya merasa senang bahkan bangga berlumuran dengan dosa. Dia akan kehilangan kepekaan emosinya terhadap nilai-nilai kebaikan.

Pada umumnya orang yang merasa senang dan bangga dengan kemaksiatan yang dilakukannya akan mengalami kesukaran untuk membebaskan diri dari perbuatan dosa.

Ketika seseorang atau sebuah masyarakat sudah sampai ke tahap berbangga dengan kemaksiatan yang dilakukannya, maka azab Allah pasti akan menerjahnya dengan amat dahsyat yang akan mengakibatkan dirinya dilanda penyesalan untuk selama-lamanya.

"Pada hari ketika muka mereka dibolak-balik di dalam neraka, mereka berkata, `Alangkah baiknya, andai kami taat kepada Allah dan taat kepada Rasul.' Dan mereka berkata, `Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu meraka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). Ya Tuhan kami, timpakan kepada mereka azab dua kali ganda dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar." (QS Al-Ahzab: 66-68)

Sebaliknya, orang yang pilihannya jatuh kepada ketaatan terhadap kehendak-kehendak Allah dan ketaatan itu telah membentuk keperibadiannya yang khusus, maka ia akan menjadi orang yang soleh, peribadi yang konsisten dalam menjalankan segala peraturan agama Allah.

Apa pun risiko yang diterimanya ia akan tetap berada dalam ketaatan. Meskipun risiko yang ditanggung akibat ketaatannya itu menyebabkan dirinya perlu berderai air mata kerana kesedihan yang dideritainya, namun, ia tetap berterusan dalam ketaatan kepada Allah swt.

Keteguhannya itu diperkukuhkan dengan keyakinan akan pembalasan Allah yang sangat baik di akhirat kelak sebagaimana firman Allah swt berikut :

"Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera, di dalamnya mereka duduk bertelakan di atas dipan, mereka tidak merasakan di dalamnya (teriknya) matahari dan tidak pula dingin yang bersangatan. Dan naungan (pohon-pohon syurga itu) dekat di atas mereka dan buahnya dimudahkan memetiknya semudah-mudahnya. Dan diedarkan kepada mereka bejana-bejana dari perak dan piala-piala yang bening laksana kaca, (iaitu) kaca-kaca (yang terbuat) dari perak yang telah diukur mereka dengan sebaik-baiknya. Di dalam syurga itu mereka diberi minum segelas (minuman) yang campurannya adalah jahe. (yang didatangkan dari) sebuah mata air syurga yang dinamakan salsabil. Dan mereka dikelilingi oleh pelayan-pelayan muda yang tetap muda. Apabila kamu melihat mereka, kamu akan mengira mereka mutiara yang bertaburan. Dan apabila kamu melihat di sana (syurga), niscaya kamu akan melihat berbagai macam kenikmatan dan kerajaan yang besar. Mereka memakai pakaian sutera halus yang hijau dan sutera tebal dan dipakaikan kepada mereka gelang terbuat dari perak, dan Tuhan memberikan kepada mereka minuman yang bersih. Sesungguhnya ini adalah balasan untukmu, dan usahamu adalah disyukuri (diberi balasan)." (QS Al Insan 11 – 22)

Ya Allah, Engkau lembutkanlah hati-hati kami supaya kami mampu menangis apabila terkenang dosa-dosa dan pelanggaran yang telah kami lakukan saban hari dan hindarilah kami dari sifat ketawa dan bermudah-mudah apabila melanggar segala ketentuan dan aturan agamaMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

Thursday, March 24, 2011

[ID] Mengisi Waktu Dengan Amal



Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Waktu adalah ladang amal. Allah swt menyediakannya agar kita menggunakannya sebagai modal penting untuk mencapai ridhaNya.

Keutamaan seseorang di sisi Allah, selain ditentukan oleh keimanan dan amal solehnya adalah juga ditentukan oleh faktor keterdahuluannya dalam keimanan dan amal solehnya.

Tidaklah sama antara :

1. Orang-orang yang terdahulu masuk Islam (As-Sabiqun Al Awwalun) dan orang-orang yang masuk kemudiannya.

2. Jamaah yang berada di shaf depan dalam solat dengan yang berada di barisan paling belakang.

3. Darjat orang yang hadir di solat Jumaat paling awal dengan yang paling akhir.

Menyegerakan amal, itulah ajaran Islam kepada umatnya.

Dalam sebuah kesempatan, Rasulullah saw menasihati para sahabatnya untuk sentiasa menyegerakan amal soleh, walaupun mereka itu manusia-manusia yang teruji keimanannya.

Sabda Nabi saw di kala itu :

"Bersegeralah melakukan amal-amal soleh (kebajikan). (Sebab) sebuah fitnah akan datang bagai sepotong malam yang gelap. Seseorang yang paginya mukmin, petangnya menjadi kafir. Dan seseorang yang petangnya mukmin, paginya menjadi kafir. Ia menjual agamanya dengan harga dunia." (HR Muslim)

Demikianlah pesanan Nabi saw yang mulia itu juga disampaikan kepada kita.

Adakah di antara kita yang selama sehari semalam penuh menjadi seorang mukmin sejati?

Bolehkah dan mampukah kita selama 24 jam tidak melakukan dosa dan bersikap kufur walau sekecil apapun kepada Allah Taala?

Padahal ketika Allah swt memberikan waktu 24 jam sehari, transaksinya adalah untuk dipersembahkan kepada Allah swt semuanya.

Pada setiap solat, kita sentiasa mengumandangkannya kepada Allah :

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam." (QS Al-An'am : 162)

1. Bukankah ketika kita tidak bersimpati terhadap nasib kaum yang lemah dan tertindas adalah bentuk kekufuran terhadap nikmat?

2. Bukankah di saat kita tidur dan bangun tidur tanpa mengingati Allah, tanda kita lupa kepadaNya?

3. Bukankah lupa adalah sebahagian dari kekufuran kita kepada Al Khaliq (Pencipta)?

Sesungguhnya fitnah itu lebih cepat bergerak. Sekali kita membiarkannya, maka seterusnya ia akan bersemayam dan berkembang dalam tubuh kita. Begitu cepat dan samarnya sehingga menjadikan seseorang boleh :

a. Berpindah agama.
b. Menggadaikannya dengan sedikit kesenangan dunia.

Oleh kerana kewajarannya, sehingga Rasulullah saw mengingatkan para sahabatnya itu, walaupun Nabi tahu keimanan para sahabat itu tidak akan mampu ditandingi oleh orang-orang yang datang sesudahnya.

Dengan apa kita menutup pintu fitnah?

Ya, dengan amal soleh.

Apa sahaja dalam kehidupan orang yang beriman boleh menjadi amal kebaikan :

1. Kita membuang sampah pada tempatnya itu amal baik.
2. Berniat tidak bohong itu amal mulia.
3. Mengucapkan salam kepada kawan itu amal yang terpuji.
4. Mendoakan saudara seiman walaupun mereka tidak tahu juga amal soleh.

Masih banyak lagi amal soleh, amal kebajikan yang boleh kita lakukan sekalipun kita tidak memiliki sesuatu sebagaimana yang tertera dalam hadis Nabi berikut :

"Orang-orang kaya pergi mendapatkan pahala. Mereka solat sebagaimana kita solat, mereka puasa sebagaimana kita puasa. Namun mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka."

Rasulullah bersabda, "Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu apa yang boleh kamu sedekahkan?

Sesungguhnya satu tasbih adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, amar ma'ruf adalah sedekah, nahi munkar adalah sedekah, dan pada hubungan (dengan isteri) kamu adalah sedekah."

Mereka bertanya, "Ya Rasulullah, apakah seseorang mendatangi isterinya kerana syahwatnya, apakah ia mendapatkan pahala?"

Beliau bersabda, "Apa menurut kamu kalau dia meletakkannya pada yang haram. Bukankah baginya dosa? Demikian pula jika diletakkan pada yang halal, padanya ada pahala." (HR Bukhari dan Muslim)

Allah swt dengan keadilanNya memberikan peluang amal kepada setiap hambaNya samada orang miskin ataupun kaya, masing-masing memiliki kesempatan yang sama untuk melakukan kebajikan dan mendapatkan ridha Allah.

Lebih dari itu, suatu amal tidak dilihat dari kuantitinya, tapi dilihat dari segi :

a. Motivasinya.
b. Niatnya.

Kualiti amal seseorang tergantung kepada motivasi dan niatnya.

Boleh jadi infak seorang buruh kasar sebesar RM5.00 itu sama nilainya dengan infak seorang pengarah sejumlah RM5 juta.

Seorang murid barangkali lebih mulia dari seorang gurunya kerana si murid lebih bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu sementara si guru merasa cukup dengan ilmunya.

Menyegerakan amal kebajikan tentu akan memberi nilai tambah bagi pelakunya sendiri. Menyegerakan berbuat baik bererti mempercepatkan dirinya mendapatkan ampunan (maghfirah) dari Allah.

Kenapa?

Ini adalah kerana kita telah berusaha untuk menutup pintu kemungkaran dan kebatilan dan demikian pula Allah akan membukakan pintu kebahagiaan iaitu syurga. Itu semua hanya mampu dilakukan oleh orang-orang yang bertaqwa.

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa." (QS Ali Imran : 133)

Mengapa kita mesti menyegerakan amal?

PERTAMA :
Aset waktu yang kita miliki hanyalah ketika ini. Apa yang terjadi nanti dan esok hari kita tidak tahu. Kelmarin bukan lagi milik kita, ia telah berlalu dan tidak akan kembali lagi.

Kebaikan dan keburukan yang kita kerjakan kelmarin tidak boleh kita ulang lagi. Ia menjadi kenangan ketika ini.

Jika ianya adalah kebaikan, bersyukurlah kita dan jika keburukan menyesallah bersama orang-orang yang menyesal.

Namun kita masih beruntung jika kita bersyukur hari ini, bukan ketika di mana penyesalan tidak ada ertinya lagi.

Esok hari juga belum menjadi milik kita, ia ada di alam ghaib di mana hanya Allah swt yang tahu. Kita tidak tahu apakah esok hari masih boleh menghirup udara pagi?

KEDUA :
Amal kita tidak mungkin dikerjakan oleh orang lain. Masing-masing manusia akan datang kepada Allah dengan amal perbuatan yang dikerjakannya sendiri di dunia.

Kesolehan ibubapa tidak boleh diwarisi oleh anaknya. Seorang suami tidak akan selamat dari murka Allah kerana amal perbuatan isterinya.

Kita boleh berbangga terhadap pemimpin, ibubapa, anak, guru, suami atau isteri kita kerana kesolehan mereka. Kebanggaan kita tidak boleh berbicara banyak di hadapan pengadilan Allah swt.

KETIGA :
Kemuliaan darjat seseorang di sisi Allah swt disebabkan oleh kesungguhannya dalam menyahut seruan kebajikan dan mengamalkannya.

Ibubapa akan senang jika menyuruh anaknya mengerjakan sesuatu lalu dikerjakan segera dan sebaliknya ia akan marah jika si anak menunda-nunda mengerjakannya.

Demikian pula Allah swt. Seruan kebajikan dikumandangkan untuk segera diamalkan dan bukan ditangguh-tangguh.

KEEMPAT :
Setiap waktu ada urusannya sendiri. Setiap waktu ada tuntutan amalnya. Banyak sekali amal perbuatan yang sangat terkait dengan waktu di mana ketika waktunya telah berakhir, maka berakhir pula kesempatan untuk mengerjakannya seperti solat, puasa, haji, berkurban dan sebagainya.

KELIMA :
Kesempatan beramal juga diberikan kepada seseorang pada waktu-waktu tertentu.

a. Orang kaya diberi kesempatan beramal dengan kekayaannya.
b. Orang berilmu diberi kesempatan beramal dengan ilmunya.
c. Seorang pemimpin diberi kesempatan beramal dengan kekuasaannya.

Jangan sampai sehingga Allah swt mencabut kesempatan itu dan tidak boleh lagi berbuat sesuatu.

Kesihatan, waktu luang, hidup, masa muda dan kekayaan adalah kesempatan untuk beramal.

Sesungguhnya tidak ada waktu lagi untuk berfikir. Ketika inilah waktu kita. Semailah kebaikan setiap waktu.

Segeralah beramal sesuai dengan tuntutan waktunya dan kejarlah kebajikan sampai ke liang lahad.

Ya Allah, jadilah kami orang-orang yang menghargai waktu dan mengisi setiap detiknya dengan amal-amal yang soleh walaupun hanya bertemu dengan saudara kami dengan sebuah senyuman dan wajah ceria kerana sesungguhnya ruang bersedekah itu cukup luas dan tidak memerlukan kewangan yang besar. Terimalah amal-amal kami yang berkualiti iaitu dengan motivasi dan niat semata-mata keranaMu walaupun dalam kuantiti yang sedikit.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

Monday, March 7, 2011

[ID] Bagaimana Nak Merasa 'Izzah Dengan Islam???

Tajuk: “Bagaimana Mahu Merasa ‘Izzah Dengan Islam?”

Naqibah: Kak Yong
Tarikh: 1 Julai 2010
Masa: 9.00 – 10.00 malam

I'm proud to be Muslim. How about you?


Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum semua...

Waalaikumsalam...

Apa khabar? Harap semua dalam keadaan sihat-sihat belaka.

Alhamdulillah...

Seperti yang dijanjikan minggu lepas, tajuk usrah online kita pada minggu ini ialah “Bagaimana Mahu Merasa ’Izzah Dengan Islam?”

Insyaallah, malam ini akak akan bertindak selaku naqibah dan akak yakin semua dah tahu bagaimana usrah online kita ini dijalankan. Jadi tanpa membuang masa, ayuh kita mulakan dengan membaca ummul kitab, al-Fatihah.

(Baca sendiri-sendiri)

Alhamdulillah, sekali lagi kita diberi kesempatan oleh Allah untuk berkumpul di ruangan diskusi ini untuk kita saling ingat memperingati dan menambahkan pengetahuan kita, insyaallah. Sebelum tu, akak nak tanya kepada adik-adik apakah yang dimaksudkan dengan ‛IZZAH?

Hamie: bangga

Huda: bangga

Lagi?

Hamie: proud.. hihi..

Proud = bangga kan? Hehe... Yang lain? Nana?

Huda: Tak tahulah Kak Yong

Okey. Betullah tu. ‛Izzah = bangga, mulia. Jadi tajuk kita malam ni, macamana nak rasa mulia, nak rasa bangga dengan Islam itu sebagai agama kita. Nak rasa ‛izzah kena ada sumber dan asasnya. Jadi persoalannya, apakah sumber untuk kita merasa ‛izzah dengan Islam?

Sebagai contoh. Katakanlah akak ni ada anak yang akak namakan Yang Teramat Mulia, Lagi Dimuliakan, Yang Paling-paling Mulia Sipulanah binti Sipolan. Agak-agaklah kan, orang muliakan anak akak tu tak? Nama dia banyak sungguh perkataan mulia tu.

Hamie: Hurm... tak kot. Entahlah

Farhana: Tak semestinya...

Huda: Tak semestinya orang muliakan...

Haaa... Mesti orang akan tanya kan, ni kerabat mana ni? Anak raja mana ni?

Hamie: Ha’ah la

Orang tak akan muliakan anak akak sebab tak ada sumber atau source untuk dimuliakan. Tapi kalau anak akak ni memang keturunan raja, orang akan muliakan dia walaupun nama dia Cuma Tengku Sipulanah binti Tengku Sipolan. Tak ada pun panjang-panjang macam yang tadi. Tak ada pun perkataan mulia. Sebab apa? Sebab dia ada sumber untuk orang muliakan dia. Sebab dia memang keturunan raja. Jadi, kalau kita nak merasa ‛izzah, kita kena ada sumber atau asas untuk buat kita bangga dengan Islam sebagai agama kita.

Cuba kita lihat dalam surah ali-Imran ayat 85, Allah telah berfirman “Dan barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima agama daripadanya, dan dia di akhirat Allah menjanjikan dia termasuk orang-orang yang rugi.”

Kita tengok ayat di atas. Sesiapa yang mencari agama SELAIN AGAMA ISLAM, Allah cakap kat akhirat nanti dia adalah orang-orang yang rugi. Jadi kalau kita pilih agama ISLAM, kita ni di kalangan orang yang apa?

Huda: Beruntung

Meera: Insyaallah beruntung

Fifi: Di kalangan orang yang bertuah

Ya, orang-orang yang memilih agama Islam adalah di kalangan mereka yang beruntung, di kalangan mereka yang berjaya. Jadi, kalau kita dah memilih Islam sebagai ad-deen kita, sebagai agama kita, macamana sepatutnya kita rasa?

Hamie: Bangga?? Bertuah??

Lagi?

Huda: ‛izzah

Hamie: Beruntung??

Fifi: Rasa macam nak riak pun ada gak... tu yang takut tu

Meera: Bangga dengan orang yang bukan Islam

Farah: Pimpinlah mereka ke jalan yang benar kalau macam tu. Biar mereka pun beruntung.

Ya, sepatutnya kita merasa bangga sebab kita orang yang beruntung. Kemudian kita tengok pula dalam surah al-Baqarah ayat 132, “Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'qub. (Ibrahim berkata): "Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam.”

“Kenapa ayat ini sepatutnya menjadikan kita rasa ‘izzah dengan Islam? Ada sesiapa yang nak cuba jawab?

Hamie: Sebab agama Islam je yang Allah redha kalau kita mati dalamnya.

Meera: Islam agama Allah

Huda: Kerana tak semua orang terpilih menjadi seorang Islam. Oleh itu kita haruslah bersyukur dan bangga dengannya.

Hamie: Sebab Allah yang pilih agama Islam bukan manusia

Abg Luq: Sebab Islam sahajalah agama yang diterima oleh Allah so mati dalam Islam adalah mati dalam redha Allah?

Okey, kalau kita tengok ayat kat atas tu, siapa yang bercakap di atas tu? Maksud akak, perbualan antara siapa yang ada dalam ayat tu?

Abg Luq: Ayah dan anak?

Siapa ayah dan anak itu?

Hamie: Rasul?

Fifi: Hmm...

Hamie: Nabi Ibrahim kepada anak-anak baginda

Huda: Nabi Ibrahim dan anak-anaknya.

Kita dapat lihat Nabi Ibrahim telah mengamanatkan kepada anak-anaknya, dan begitu juga Nabi Ya’qub juga buat perkara yang sama. Jika kita lihat, kedua insan ini adalah Nabi dan Rasul. Jadi agama yang kita anuti ini adalah agama para Nabi dan Rasul. Jadi sepatutnya kita merasa bangga kerana sudah menganut dan mewarisi agama para Nabi dan Rasul, betul tak?”

Hamie: Owh... betul tu!

Fifi: Ooo... na’am

Meera: Betul

Amir: Betul sama sekali

Huda: Betul

Dan kalau kita tengok lagi dalam ayat tadi, “sesungguhnya Allah telah memilih agama ini untuk kamu.” Tengok, Allah dah pilih agama Islam ni untuk kita. Ini adalah satu penghormatan untuk kita. Sepatutnya kita merasa bangga Allah pilih kita, Allah pilih Islam itu untuk kita.

Fifi: Betul!

Seharusnya kita merasa bangga, merasa mulia dengan agama Islam yang merupakan agama para Nabi dan agama yang dipilih oleh Allah untuk kita.

Huda: Betul tu!

Amir: Sebaik-baik agama di sisi Allah adalah Addinul Islam!

Fifi: Memang sangat beruntung kita ni kan?

Okey. Kita tengok pula surah Al-Haj ayat 78. “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik- baik Penolong.”

Kita tengok ayat di atas. “Allah telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu...” See... Nama MUSLIM TU Allah yang bagi pada kita.

Amir: Na’am, na’am

Fifi: Betul-betul

Gelaran MUSLIM tu Allah yang pilih dan beri pada kita. Sepatutnya kita kena rasa bangga, betul tak?

Syakir: Bertuah

Huda: Betul tu

Fifi: Sangat tak sangka

Selama ni kita mungkin tak pernah terfikir dan tau kan?

Hamie: Ha’ah

Huda: Betul tu, segala pujian bagi Allah

Hamie: Jahilnya ana...

Amir: Segala puji bagi Allah yang telah mengaturkan yang terbaik untuk kita semua, insyaallah...

Cuba kita tengok. Kalau ada orang dapat gelaran Dato’, Tan Sri, Dato’ Seri, Datuk Tak Berseri, siapa yang bagi gelaran tu kat dia?

Hamie: Manusia...

Fifi: Manusia...

Siapa manusia tu?

Fifi: Kerajaan...

Raja kan?

Fifi: A’ah ek

Hamie: Raja arrr hihi...

Kalau Dato’, Tan Sri tu kalau kita panggil dia dengan nama je, tak sebut pun gelaran dan pangkat dia tu, agak-agaklah kan, dia marah tak? Bukan senang tu nak dapat gelaran macam tu...

Huda: Hmmm... mungkin

Fifi: Marah! Nanti dia kata kita tak hormat dia

Hamie: Betul-betul

Amir: Of course, for sure they will mad with us

Fifi: Tak silap nanti boleh kena saman

Hamie: Nanti dia kata kita tak setaraf dengan dia

Orang yang dah pergi haji pun marah kan kalau kita tak panggil dia Haji or Hajjah (tak semua la)

Syakir: Betul

Huda: Betul

Hamie: Sebahagian ada...

Fifi: A’ah. Kira diorang berbangga dengan gelaran tu kan?

Amir: Yup

Tapi cuba kita tengok diri kita ni. Allah dah bagi kita gelaran MUSLIM tu yang tak semua orang dapat. Tapi kenapa kita tak rasa bangga? Kenapa kita tak rasa ‛izzah?

Hamie: Alamak, terasa ni... Huuuu...

Huda: Ha’ah la... Tak terfikir...

Tak apa. Peringatan untuk diri akak juga.

Fifi: Alpa, memang bahaya.

Amir: Ramai orang beranggapan gelaran MUSLIM tidak se’special’ gelaran Dato’ Seri and whatever... Walhal gelaran MUSLIM tu lebih dipandang mulia di sisi Allah s.w.t. compare to Dato’ Seri...

Yup, betul tu.

Hamie: Setuju sangat!

Jadi adik-adik, jika kita mengamalkan Islam, jika kita hidup dalam Islam, kita nampak keindahan Islam, baru kita akan rasa mulia, barulah kita rasa bangga dan kita akan rasa ‘izzah dengan Islam. Lepas tu barulah kita boleh berkongsi dengan orang lain keindahan Islam itu sendiri. Kalau kita sendiri tak dapat rasai keindahan Islam, macamana kita nak sampaikan Islam pada orang lain?

Amir: Betul tu.

Kalau makan kek coklat, kongsikan dengan orang lain
supaya orang lain pun boleh rasai keenakkannya


Sebagai contoh, akak makan kek coklat hehe… Lepas tu akak bagitau Huda yang kek tu sedap sangat. Agak-agaklah kan, boleh tak Huda bagitau Hamie macamana sedapnya kek coklat yang akak makan tadi tu sedangkan Huda tak makan pun kek coklat tu.

Hamie: Tak boleh

Fifi: Huhu... tak mungkin

Huda kena makan kek tu dulu, kena rasa kek tu dulu. Barulah Huda boleh cerita pada Hamie macamana sedapnya kek tu. Coklat dia pahit ke, topping dia sedap ke... Samalah juga dengan Islam ni. Kita dulu yang kena rasai sendiri keindahan Islam, lepas tu baru boleh cerita kat orang.

Hamie: Ha’ah...

Huda: Ye la...

Okey, untuk yang terakhir cuba tengok ayat ni Al-Maidah ayat 3. “Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa karena kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Islam tu agama yang syumul, menyeluruh dan mencakupi seluruh aspek. Islam bukan agama solat, puasa dan zakat je tau.

Meera: Betul

Jadi, jom kita amalkan Islam secara keseluruhannya dalam hidup kita. Bukan Islam yang diambil secara separuh-separuh. Dengan itu kita akan merasai keindahan Islam dan halawatul iman, kemanisan iman...

Fifi: Betul, sokong!

Abg Luq: Makan kek biar sampai licin

Okeylah, nampaknya jam pun dah pukul 10. Masa kita pun dah sampai ke penghujung.

Huda: Alaaaaa...

Hamie: Alaaaa... cepatnya...

Tak apa. Kita tutup dulu usrah ni, dan sesiapa yang nak stay untuk sembang-sembang ukhwah macam last week, kita boleh sambung.

Huda: Okey.

Meera: Insyaallah...

Jadi sebelum kita tutup usrah kita malam ini, sekali lagi akak nak ingatkan ‘Amalkan Islam secara menyeluruh, kelak kamu akan merasai keindahan Islam dan kemanisan iman…’

Hamie: Insyaallah...

Fifi: Insyaallah... ameenn

Meera: Insyaallah...

Insyaallah kita tutup dengan tasbih kafarah dan surah al-Asr.

Huda: Ameennn...

Amir: Insyaallah...

Hamie: Kami akan try the best, kan semua?

Fifi: Ya

Amir: We will do our best for our lovely Islam!

Abg Luq: Izzahkanlah dirimu kerana jika tidak engkau yang izzahkan dirimu sendiri, sesungguhnya tiada siapa yang mahu mengizzahkan dirimu.

Huda: Jazakillah untuk Kak Yong juga sebab telah memberi pengisian yang sangat menarik.

Meera: Huda betul. Terima kasih Kak Yong, terima kasih semua.

Fifi: Makaseh Kak Yong.

Hamie: Dalam dunia ni tak ada insan yang sempurna. Tapi takkan nak tunggu diri sempurna baru nak dakwahkan? So, islahkan diri sambil islahkan orang lain.

Amir: Bersama mengembalikan generasi soleh wa musleh.

Abg Luq: Kalau kita makan coklat, jangan lupa untuk share dengan orang lain supaya orang lain pun dapat rasa.

Hamie: Betul tu, kalau Kak Yong makan kek coklat, jangan lupa bagi kami rasa juga hehe

Abg Luq: Macamana kalau ada orang belanja orang lain makan kek coklat tapi dia tak pernah makan kek coklat?

Hamie: Ha?? Tak faham.

Meera: Macam makcik saya. Dia ada kedai kek, tapi dia tak makan kek sebab dia x suka kek.

Orang yang mengajar orang lain tentang Islam, tapi dia tak buat apa yang dia cakap. Lebih kurang macam cakap tak serupa bikin. Macam tu ke?

Abg Luq: Itu satu jawapan. Jawapan lain?

Huda: Erm... cepatlah jawab soalan Abg Luq tu.

Abg Luq: Dia tak pernah makan kek coklat tapi dia makan cheese cake. Sedap juga.

Hamie: Ha??

Huda: Maksudnya?

Amir: ???

Meera: ????

Abg Luq: Kedai kek bukannya ada kek coklat je. Dia ada juga cheese cake, blueberry cake...

Hamie: Ha?

Amir: So?

Abg Luq: Islam itu bukan hanya pada satu sudut sahaja wahai sahabatku sekalian. Banyak kemanisan yang mungkin kita tak pernah kita rasa. Tapi orang lain dah pernah rasa.

Meera: Islam ni syumul la maksudnya?

Abg Luq: Yup!

Huda: Oooo...faham-faham...

Farhana: Kalau terlebih izzah dengan Islam, dosa besar ke?

Amir: Ana tak ada jawapan yang tepat.

Meera: Macamana tu Kak Yong, Abang Luq?

Abg Luq: Definisikan terlebih izzah dengan Islam?

Farhana: Terlalu bangga yang dia tu orang Islam, orang yang terpilih, orang yang baik-baik...

Hamie: Terlalu bangga? Macam orang Yahudi ke yang bangga dengan diri diorang?

Abg Luq: Memang patut kita rasa bangga. Dalam al-Quran, azillatin alal mukminin a’izzatin alal kafirin... merendah hati tika dengan orang mukmin tapi mengizzahkan diri tika dengan orang kafir.

Mungkin apa yang Farhana maksudkan tu bila kita ni jadi MUSLIM, kita rasa diri kita dah cukup bagus, lagi mulia dari orang lain. Tapi kita kena ingat, rasa izzah tu kena seiring dengan amal. Kalau rasa izzah tapi amalan tak ada, tak guna juga. Macam tin kosong. Isinya tak ada, bunyi je kuat. Amal tu pula kena diiringi keikhlasan. Kalau beramal tapi hati tak ikhlas dan ada rasa riak, Allah tak terima amal kita tu.

Hamie: Ha’ah la... Terasa lagi sekali... Huuu...

Huda: Betul tu

Abg Luq: Lantang bersuara tapi amalan tarak

Hamie: Jahilnya aku... T_T

Huda: Ya Allah! T_T

Tak apa dik. Sama-sama kita perbaiki dan pertingkatkan diri masing-masing. Jom jadi macam kura-kura yang berlumba dengan arnab! Insyaallah, dua minggu lagi akak akan kongsikan kisah ni ye. Ada banyak ibrah dari kisah ni yang boleh kita ambil untuk dijadikan tauladan.

Hamie: Ok, janji ye! Minggu depan tajuk apa?

Minggu depan? Insyaallah Abg Luq akan kongsikan kisah tokoh Islam.

Huda: Siapa?

Siapa? Tunggu...!!! Nanti akak hebahkan dalam forum.

Hamie: Tak apalah Huda. Yang penting tokoh. Mesti best ni. Tak sabarnya!

Fifi: Hope dapat join juga. Takut ada banyak homework.

Huda: Ala, kalau tak siap, bangunlah awal pagi. Siapkanlah...

Abg Luq: Habiskanlah cepat-cepat.

Fifi: Tak apa. Akan usahakan juga just for Islam!

Bagus semangat macam tu. Okey, dah lewat ni. Esok semua nak pergi sekolah. So, sila tidur ye sekarang. Insyaallah kita jumpa lagi minggu depan. Assalamualaikum...

Waalaikumsalam...

Tuesday, March 1, 2011

[ID] Membangun Solat Berkualiti


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Solat merupakan tali pengikat ruhani yang sangat kuat antara seorang hamba dengan Penciptanya. Hubungan yang melambangkan ketundukan seorang hamba di hadapan Tuhannya dan keagungan Al Khaliq di hadapan hambaNya.

Solat dengan begitu jelas menggambarkan kekerdilan seorang hamba dan kebesaran Allah swt di mana ianya adalah wasilah munajat mendekatkan diri kepada Allah swt.

Solat adalah tangga ruh dan kalbu orang-orang yang merindui Allah di mana dengan solatlah :

  1. Mereka menghiasi malam di mihrab-mihrab mahabbah dan zhauq sambil menikmati nikmat dari Tuhannya yang sedang membuka tirai-tirai langit bagi orang-orang yang sedang beristighfar dan munajat.
  2. Mereka berdoa pada Tuhannya dengan linangan air mata penuh harapan dan cemas. Hati mereka terasa hangat tatkala munajat mereka panjatkan di relung-relung malam yang sunyi.
  3. Mereka menyingkap awan dan bintang gemerlapan dengan alunan panjang tasbih dan tahmid kepada Tuhan.
  4. Mereka getarkan pintu-pintu langit melalui munajat cinta yang sentiasa bergelora di titian malam yang indah.

Solat adalah tiang agama dan penyangga rusuk-rusuk dan organ-organ agama yang lain.

Jika tiang utama lemah atau hancur maka :

  1. Kelumpuhan akan segera berlaku kepada organ-organ yang lain.
  2. Kehidupan agama tidak boleh diharapkan untuk bergerak kembali.
  3. Keletihan jiwa akan merasuk.
  4. Kerapuhan ruhani akan menjadi sebuah wabak penyakit.

KEKUATAN SOLAT

Solat sangat mampu :

  1. Memberi pengaruh pada pembentukan akhlak dan perilaku seseorang.
  2. Menjadi imunisasi paling bagus buat pelakunya untuk menjauhkan diri dari semua sifat keji dan kejahatan.
  3. Menjadi ubat paling mujarab yang menenangkan jiwa para pelakunya.
  4. Mencegah pelakunya untuk tidak terjebak dalam kerakusan dan ketamakan.
  5. Menjaga pelakunya untuk sentiasa bersikap rendah diri dan tawadhu' di hadapan sesiapa sahaja.
  6. Menaikkan harga diri pelakunya di hadapan sesiapapun yang menyombongkan diri di hadapan Allah swt.

Solat adalah :

  1. Munajat dan doa.
  2. Taubat dan inabah.
  3. Tasbih dan istighfar.
  4. Tahmid dan takbir serta tahlil.

Semua itu terangkum dalam sebuah untaian proses indah bagi mencapai nikmat pertemuan dengan Kekasih.

Solat menjadi pengkalan seorang hamba dalam perjalanan hidupnya untuk bersuka-ria sejenak bersama dengan Tuhannya.

Dalam solatlah mereka merasakan kenikmatan ruhani dan jiwa yang sangat sensasi. Bahkan ada yang mengatakan :


“Andaikata penduduk bumi tahu kenikmatan yang kami rasakan ketika kami solat, pastilah mereka akan memenggal kepala kami dengan pedang-pedang yang tajam.”

Dalam solat, kita :

  1. MenyucikanNya.
  2. Bermunajat dengan firman-firmanNya.
  3. Ruku' dan sujud kepadaNya.
  4. Renungi kembali asal penciptaan kita yang berasal dari tanah dan unsur-unsur alam yang ada.

Dari bahan tersebut, Dia melengkapi kita dengan kemahuan dan kekuatan sehingga kita mampu :

  1. Menyucikan.
  2. Menjunjung.
  3. Menahan tuntutan fizikal dan syahwat.
  4. Meluruskan perasaan.
  5. Menggelorakan kecenderungan bagi menegakkan kesucian.
  6. Berusaha melawan penyimpangan-penyimpangan yang mengarah kepada kekejian dan kejahatan

Solat merupakan wasilah dalam :

  1. Mendidik jiwa.
  2. Memperbaharui semangat.
  3. Menyucikan akhlak.
  4. Menguatkan pengendalian diri.
  5. Menghibur duka lara.
  6. Menyejukkan jiwa.
  7. Mengamankan dari rasa takut dan cemas.
  8. Menghancurkan kelemahan.
  9. Menjadi senjata yang ampuh bagi mereka yang merasa keterasingan.
  10. Membersihkan jiwa dari sifat-sifat buruk.
  11. Menyingkirkan dunia dari hati pelakunya dan akan meletakkannya di tapak tangannya.
  12. Mencari dunia untuk dikendalikan dan bukan dunia yang mengendalikan dirinya.

Solat adalah kebun ibadah yang di dalamnya penuh dengan segala yang menyenangkan dan menggembirakan. Ada takbir, ada ruku', ada berdiri, ada sujud, ada duduk dan tahiyyat yang di dalamnya penuh dengan munajat. Ia adalah cahaya yang ada di dalam hati seorang mukmin dan nur yang akan memberikan penerangan di kala mereka dikumpulkan di padang mahsyar sebagaimana sabda Rasulullah saw :

"Solat itu adalah cahaya." (HR Muslim)

Dengan solat kita meminta pertolongan kepada Allah dengan segala kerendahan jiwa yang di jelmakan melalui ruku' dan sujud, yang terakam dalam semarak doa dan munajat.

SOLAT ADALAH PERISAI

Solat yang benar akan sentiasa mampu menjadi perisai dari maksiat-maksiat yang mungkin akan menenggelamkan ruhani kita dan merobohkan tiang keimanan kita serta mematikan potensi keihsanan kita :

"Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al Qur'an) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (QS Al-Ankabuut : 45)

"Barangsiapa yang menjaga solatnya, maka solat itu menjadi cahaya dan keterangan (bukti) serta penyelamat baginya di hari kiamat." (HR Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Keutamaan dan kepentingan solat telah menjadi sedemikian jelas bagi setiap Muslim.

Meskipun begitu, kita belum juga dapat merasakan makna-makna yang mendalam ini dan kita pun tetap menganggap solat sebagai sesuatu yang berat untuk dilaksanakan.

Kita memang sebenarnya layak merasai hal ini dan alasan tersebutpun boleh diterima kerana

Allah swt telah berfirman :

"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. dan Sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’." (QS Al Baqarah : 45)

MENGAPA SOLAT TERASA BERAT

Ya, kita sebenarnya belum melaksanakan solat secara khusyu’ sehingga solat pun terasa :

  1. Berat.
  2. Sukar.
  3. Menjadi bebanan.

Solat akan terasa berat jika kekhusyu'an kita berkurang, ia akan terasa seperti bebanan jika kita tidak merindukan pertemuan dengan Yang Maha Pengasih. Sebaliknya solat akan terasa nikmat bagi orang-orang yang khusyu' dan yang menjadikan solat sebagai tangga menuju pertemuan dengan Al Khalik.


Oleh yang demikian, kekhusyu’an menjadi tema utama dalam permasalahan solat. Tanpa kekhusyu’an, kita akan merasakan solat sebagai beban berat yang tidak berpengaruh dan mungkin hanya merupakan gerakan-gerakan mekanikal semata-mata.

Merebaknya kejahatan di tengah-tengah masyarakat kita berupa penyimpangan, kekejian kekotoran-kekotoran ruhani berkemungkinan berlaku kerana solat kita tidak lagi memiliki nilai-nilai ilahiyahnya.

Solat yang kita laksanakan berkemungkinan hanya :

  1. Berupa rangka-rangka dan gerakan yang kosong dari kesedaran ruhani.
  2. Umpama mayat tanpa ruh dan solat itu telah mati di saat kita melakukannya.

SEBAB DAN AKIBAT SOLAT YANG TIDAK KHUSYU’


Salah satu perkara yang merintangi seseorang menuju kekhusyu’an dalam solat adalah banyaknya pergerakan badan di samping sikap lalai dalam solat.

Kita mungkin pernah melihat ada orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang aneh dalam solat.

Berikut adalah beberapa contoh :

  1. Seseorang yang mengerjakan solat dengan sedemikian cepat seolah-olah ianya sebuah senaman aerobik.
  2. Seseorang yang solat di samping televisyen yang terbuka.
  3. Seseorang yang solat namun matanya berputar mengamati kecantikan-kecantikan dalam masjid dan orang-orang yang ada di dalamnya.
  4. Seseorang yang solat dan ketika solat ia sengaja mengangkat suara agar anaknya diam.
  5. Seseorang yang solat dan gerakannya lebih cepat dari patukan ayam jantan di mana ia melakukan sujud namun hujung kepalanya hampir tidak menyentuh lantai.


Ini merupakan contoh-contoh solat yang tidak sepatutnya diteladani dan apakah kita mengira bahwa Allah swt akan mengabulkan solat-solat semacam itu?

Dalam sebuah hadits, Rasulullah saw bersabda kepada seorang laki-laki yang mengerjakan solat dengan cepat dan tanpa ‘thuma'ninah’ :


"Pergilah untuk melakukan solat kerana engkau belum mengerjakannya." (HR Bukhari)

Nabi saw pernah ditanya tentang perbuatan menoleh-noleh ketika solat, maka beliau pun bersabda ;


"Itu merupakan curian yang dilakukan syaitan terhadap solat seorang hamba." (HR Bukhari)

“Sungguh, seburuk-buruk manusia adalah orang yang berusaha mencuri bahagian solatnya.

Ditanyakan, "Bagaimanakah perkara itu boleh berlaku, ya Rasulullah?"

Baginda menjawab :

"Ia tidak menyempurnakan ruku’ dan sujudnya." (HR Ahmad)

Rasulullah saw bersabda :

"Sesungguhnya Allah akan menyambut seorang hamba dalam solatnya sepanjang ia tidak berpaling. Maka jika hamba itu memalingkan muka, Allah pun berpaling darinya." (HR Abu Dawud dan An Nasai’e).


Demi Allah, tidakkah kita merasa malu?

Apakah Allah swt melihat kita tetapi kita justeru melihat ke arah yang lain?

JADIKAN SOLAT SEBAGAI ISTIREHAT KITA


Inilah Rasulullah saw bersama solat.

Perhatikanlah tatkala baginda mengatakan :

"Wahai Bilal, dirikanlah solat (iqamatlah)! Istirehatkanlah kami dengannya." (HR Abu Dawud dan disahihkan oleh Al Albani)

Bandingkan dengan keadaan kita ketika ini dan boleh jadi sebahagian manusia justeru akan mengatakan :

"Istirehatkanlah kami dari solat, wahai Bilal."

Demi Allah, orang yang mampu mengecapi rasa ini hanyalah orang-orang yang khusyu’ dan adapun orang-orang yang selain mereka justeru akan merasa letih.

Perhatikan bagaimana Rasulullah saw mengatakan :

"Dan puncak kebahagiaanku dijadikan terletak dalam solat." (HR Ahmad)

Solat adalah kebahagiaan baginda dan keinginannya. Pandangan baginda tidak akan dipenuhi apa-apa selain solat sementara pandangan kita telah terjejas oleh banyak perkara seperti :

  1. Isteri.
  2. Rumah tangga.
  3. Pekerjaan.
  4. Harta benda.
  5. Televisyen.

Pernahkah walaupun sekali kita merasakan puncak kebahagiaan kita terletak pada dua rakaat yang kita kerjakan di tengah malam yang gelap di mana kita menegakkan kaki di hadapan Allah swt dengan penuh khusyuk dan hiba?

Para sahabat mengatakan :

"Apabila Rasulullah saw ditimpa suatu persoalan atau mengharapkan sesuatu perkara, beliau bergegas melaksanakan solat." (HR Ahmad)

Itulah, sungguh aneh keadaan kita!

Jika kita ditimpa persoalan, kita segera berlari mencari yang lain dan bukannya solat!


ANTARA MABUK DAN LALAI DALAM SOLAT


Allah swt berfirman :


”Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan." (QS An-Nisa' : 43)

Subhanallah! Ada ramai orang yang tidak dalam keadaan mabuk namun keadaan mereka ketika solat tidak berbeza dengan orang-orang yang mabuk. Mereka sama sekali tidak mengerti apa yang mereka ucapkan ketika solat.

Tanyakan pada diri kita masing-masing, berapakah solat yang kita lakukan dalam keadaan yang lebih buruk dari orang-orang yang tengah mabuk?

Sukakah kita menjadi orang yang lalai, sementara kita berdiri di hadapan Allah?

CONTOH TAULADAN DARI SALAF


Abu Thalhah pernah solat di kebunnya. Kemudian di tengah-tengah solat beliau melihat seekor burung terbang keluar dari kebun. Kedua mata beliau pun terpaku melihat burung itu sehingga beliau lupa berapa rakaat yang telah beliau kerjakan. Akhirnya, kerana kelalaian itu, beliau pergi menghadap Rasulullah saw sambil menangis dan berkata :

"Wahai Rasulullah, saya telah disibukkan oleh seekor burung ketika solat di kebun sehingga saya lupa berapa rakaatkah yang telah saya lakukan ketika solat..."

Baginda pun berkata :

"Sekarang, biarlah kebun itu menjadi sedekah di jalan Allah. Gunakanlah kebun itu untuk apa sahaja seperti yang kamu inginkan, barangkali dengan ini, Allah akan mengampuni kamu."

Sungguh, seorang mukmin sejati akan melihat dosanya seperti sebuah gunung yang besar yang ingin menimpanya.

Sepatutnya kita menangis sekuat-kuatnya di atas keadaan kita selama ini. Ratusan hari, bahkan bertahun-tahun, kita solat dalam keadaan lalai, namun kita sentiasa menghiburkan diri kita dengan berkata, "Rasulullah saw pun pernah lupa jumlah rakaat solatnya."

Suatu kali Hatim Al 'Asham rahimahullah pernah ditanya tentang solatnya. Ia pun menjawab :

"Jika waktu solat telah tiba :

  1. Aku berwudhu’ dengan sempurna.
  2. Aku menghampiri tempat di mana aku akan mengerjakan solat.
  3. Aku pun lantas duduk di sana sampai seluruh tubuhku dalam keadaan penuh konsentrasi.
  4. Kemudian aku pun memulai solat dengan menjadikan Ka'abah seolah-olah berada di hadapanku.
  5. Jambatan Ash-Shirath seolah-olah terletak di bawah kakiku.
  6. Syurga seolah-olah di sebelah kananku dan neraka di sebelah kiriku.
  7. Malaikat Maut seolah-olah berada tepat di belakangku.
  8. Aku pun menganggap solat ini sebagai solatku yang terakhir.
  9. Kemudian aku mulai mengerjakannya dalam suasana antara ‘raja'’ (harap) dan ‘khauf’ (cemas).
  10. Aku bertakbir sepenuh hati dan membaca ayat-ayat Al Qur'an dengan tartil.
  11. Kemudian aku ruku’ dengan tawadhu dan bersujud dengan penuh khusyu’.
  12. Seterusnya aku duduk di atas kaki kiri dengan menjulurkan tapaknya dan menegakkan kaki kanan di atas kedudukan ibu jari.
  13. Aku pun mengakhiri solat tersebut dengan rasa ikhlas, namun aku tidak tahu apakah solat itu dimakbulkan ataupun tidak."

Perhatikan pula keadaan Ali bin Abi Thalib ra ketika hendak melaksanakan solat. Selepas berwudhu’, beliau biasanya gementar dan ketika ditanya sebabnya, beliau mengatakan :

"Sekarang aku sedang memikul amanah yang pernah ditawarkan kepada langit dan bumi serta gunung, tapi mereka semua menolaknya. Namun aku kemudian maju dan bersedia menerima amanah tersebut."

CARILAH HATI KITA


Imam Al Ghazali rahimahullah berkata :

"Carilah hatimu di tiga tempat :

PERTAMA, ketika membaca Al Qur'an.

KEDUA, ketika solat.

KETIGA, ketika mengingati kematian.

Jika di tiga tempat tersebut engkau belum menemui hatimu, maka mohonlah kepada Allah untuk memberimu hati, kerana engkau sedang dalam keadaan tidak memilikinya.”

Memang sesuatu yang ironik jika peringatan secara rutin peristiwa Isra' Mi'raj pada setiap tahun tidak melahirkan solat khusyu' yang mampu menggetarkan hati nurani dan menembus hingga ke langit. Solat yang kosong dari kekhusyu'an dan tiada kerendahan hati akan melahirkan kekosongan-kekosongan baru yang tiada henti.

Maka, sudah sampai masanya kita jadikan solat sebagai sumber cahaya yang akan menerangi perjalanan kita menuju Allah Yang Maha Kuasa.

Dengan solat, jiwa kita akan menjadi tenang, sejuk dan segar kerana dalam solat, aliran ketenangan dari langit terus mengalir tanpa henti.

Ya Allah, jadikanlah solat kami sebagai tempat hati kami berehat dan menikmati hubungan yang terus dan intim denganMu sehingga tiada lagi ketenangan, tiada lagi kerehatan, tiada lagi kenikmatan melainkan apabila kami telah memasuki wilayah solat yang akan membawa kami menyusuri satu ruangan yang luas tidak bertepi sambil mengetuk pintu-pintu rahmat dan keampunanMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen


-WAS-

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger | Printable Coupons