Showing posts with label Berita iTeens BTR. Show all posts
Showing posts with label Berita iTeens BTR. Show all posts

Saturday, April 9, 2011

[Berita] Remaja Cemerlang Bersama Pak Utih

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

ALAM DAMAI – IKRAMTeens Bandar Tun Razak dengan kerjasama pihak Masjid Al Mukhlisin, Alam Damai telah menganjurkan program Remaja Cemerlang bersama Ahmad Shafiai Uda Jaafar atau lebih dikenali sebagai “Pak Utih” yang berpengalaman lebih daripada 10 tahun. Program ini bermula pada jam 2.00 petang. Seramai 63 orang peserta telah hadir menyertai program ini dari remaja yang berusia 12 tahun hingga 17 tahun.


Program dimulai dengan senaman ringan yang dikendalikan oleh Brother Fahzan bertujuan supaya para peserta merasa 'segar' dan dapat memberikan fokus yang terbaik sepanjang program dijalankan. Pak Utih memulakan slotnya dengan memperkenalkan diri kepada peserta. Dalam waktu yang singkat, para peserta telah menjadi mesra antara satu melalui beberapa permainan yang dikendalikan oleh Pak Utih. Para peserta begitu terhibur dengan lawak jenaka dari Pak Utih.

Seterusnya para peserta dikehendaki menjalani 'ujian kendiri' yang telah disediakan oleh Pak Utih untuk menilai diri mereka. Sebelum itu, Pak Utih telah memberikan penerangan ringkas bagaimana untuk mengisi borang kendiri tersebut kepada para peserta. Disamping itu, para peserta telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan mengikut jantina. Selesai sahaja, Pak Utih memberi penerangan buat setiap peserta berkaitan pekerjaan masa hadapan berpanduan markah ujian yang ditulis pada kertas mahjung. Selepas itu, Pak Utih memberi kaedah serta panduan menjadi Remaja Cemerlang yang sebenar. Sepanjang program ini, banyak klip-klip video digunakan dalam penyampaian Pak Utih bagi memudahkan para peserta memahami setiap perkara yang ingin disampaikan dengan lebih baik.

Lebih kurang jam 4.30 petang, program berhenti rehat buat seketika bagi memberi laluan kepada para peserta untuk menunaikan solat Asar secara berjamaah. Selesai sahaja menunaikan solat Asar, para peserta berkumpul semula untuk mengikuti semula program. Banyak tips-tips bagaimana untuk menjadi remaja yang hebat dan berilmu. Selain itu, Pak Utih turut berkongsi tentang kaedah mengingat serta menyarankan pengambilan vitamin Omega 3 supaya para pelajar lebih berminat untuk membaca buku.

Pak Utih juga telah berkongsi tentang kisah seorang pelajar yang pemalas dan suka memakan makanan ringan. Setelah diberi mengambil vitamin Omega 3, pelajar tersebut mula berubah. Kini pelajar tersebut menjadi seorang yang minat membaca buku dan rajin. Ibu bapa pelajar itu berasa gembira akan perubahan yang berlaku pada anaknya yang sebelum ini seorang yang pemalas.

Masa berlalu begitu pantas. Tanpa disedari program Remaja Cemerlang sudah sampai ke penghujung. Para peserta berasa gembira dengan input-input yang telah disampaikan oleh Pak Utih. Oleh kerana kesuntukan masa, ada beberapa topik yang tidak dapat kongsikan kepada para pelajar antaranya peta minda. Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah penghargaan oleh Pakcik Nazli kepada Pak Utih pada jam 5.30 petang dan kesemua peserta dan tetamu yang hadir dijamu dengan minum petang sebelum bersurai.

Thursday, March 24, 2011

[Berita] Camping Putera IKRAMTeens BTR



HULU LANGAT, 12 Mac - IKRAMTeens Bandar Tun Razak kerjasama dengan pihak Masjid Al–Mukhlisin, Alam Damai buat julung kalinya telah menganjurkan perkhemahan bertempat di Kingfisher Campsite, Hulu Langat pada tahun ini dengan tema “Ukhwah”. Seramai tiga puluh dua orang peserta lelaki dan tujuh orang fasilitator terlibat dalam perkhemahan selama dua hari satu malam ini. Hari pertama diisi dengan sesi ta’aruf, memasang khemah, jungle treking, obstacles, mandi sungai dan Aspirasi Seni.

Perasmian perkhemahan ini dimulakan dengan ucapan oleh Ustaz Zul yang mewakili Pertubuhan IKRAM Malaysia daerah Bandar Tun Razak, diikuti oleh Ustaz Ibrahim mewakili Masjid Al – Mukhlisin dan Encik Nazli mewakili IKRAM Teens daerah Bandar Tun Razak. Suasana sepi bertukar ceria apabila para peserta mula bermesra antara satu sama lain semasa sesi taaruf dijalankan. Pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya 'biawak buaya', 'pistol angin' dan F1. Peserta mula mengukir senyuman, mesra, ringan tulang dan menegur sesama teman yang baru dikenali antara satu sama lain sebelum pembahagian kumpulan aktiviti dan perkhemahan dijalankan. Permainan biawak buaya dan pistol angin dikendalikan oleh Pak cik Amri manakala permainan F1 dikendalikan oleh Pak cik Nazli yang turut dibantu oleh fasilitator antaranya Faizal, Wasim dan Fahzan.

Sebelum makan tengahari dan solat Zohor berjamaah, para peserta mula berkumpul untuk pembahagian kumpulan seterusnya memasang khemah di tapak perkhemahan yang terletak berhampiran dengan sungai. Mereka diberi masa selama tiga puluh minit. Seterusnya aktiviti yang sangat-sangat dinantikan oleh para peserta telah tiba iaitu jungle treking. Sebelum aktiviti dimulakan, bacaan doa dan taklimat diberikan kepada semua peserta oleh jurulatih Kingfisher yang menjadi jurupandu untuk masuk ke dalam hutan. Tempat pertama yang dituju adalah air terjun setelah melalui kawasan berbukit dan aliran sungai. Sepanjang perjalanan tersebut laungan takbir, bacaan Al Fatihah dan tepuk ukhwah dilakukan bersama bagi mengelak rasa letih. Tiba tempat di kawasan air terjun, setiap kumpulan diberi masa lima minit untuk mandi sebelum pulang ke tapak perkhemahan. Aktiviti obstacles dilakukan dalam perjalanan pulang ke tapak perkhemahan.

Para peserta menunaikan solat Asar berjamaah di padang sejurus tiba di Kingfisher Campsite pada jam lima petang. Kemudian, para peserta dibenarkan untuk mandi sungai aktivit mandi sungai sebelum makan malam. Tepat jam tujuh petang, para peserta mula berkumpul untuk meenunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjamaah di surau bersama peserta Pusat Tahfiz dari Klang yang berkongsi tempat program. Jam sembilan malam peserta mula berkumpul semula disurau untuk aktiviti seterusnya iaitu "Aspirasi Seni". Setiap kumpulan dikehendaki membuat satu persembahan bebas antaranya nasyid dan lakonan yang dikendalikan oleh Pak cik Amri. Aktiviti pada malam itu telah diakhiri dengan persembahan drama oleh fasilitator yang bertajuk "Perhimpunan Syaitan Sedunia" dan permainan binatang kesayangan saya. Selepas itu para peserta menikmati 'supper' yang telah disediakan oleh Ustaz Zul, Ustaz Ibrahim, Brother Wasim, Brother Faizal serta Pak cik Nazli. Pada jam sebelas malam, para peserta diminta untuk tidur.

Keesokkan harinya, semua peserta telah dikejut untuk bangun menunaikan qiamullail dan solat subuh berjamaah. Peserta memberi respon yang positif untuk bangun dan tidak perlu suara tinggi untuk menyedarkan mereka. Qiamullail dan solat Subuh telah diimamkan oleh peserta tahfiz dari Klang. Usai solat subuh, semua peserta berzikir beramai-ramai. Sejurus selepas menunaikan solat Subuh, beberapa permainan indoor telah diadakan. sebelum menjalankan aktiviti mandi sungai, sarapan pagi dan mengemas tapak perkhemahan. Antaranya ialah “Telematch” dan “Chinese Handcuff” yang telah dikendalikan oleh Pak cik Amri manakala permainan “Crossword Puzzle” dan "Ini Kehidupan Kita" telah dikendalikan oleh Pak cik Nazli sehingga jam 10.30 pagi dengan dibantu oleh kesemua fasilator. Selepas bersarapan para peserta dibenarkan untuk mandi sungai dan mengemas tapak perkhemahan sehingga jam 11.30 pagi. Ibu bapa mula datang untuk menjemput para peserta sekitar jam 12.00 tengah hari sehingga jam 1.00 petang. Syukur dan Alhamdullilah, para peserta serta penjaga telah memberi respon yang positif dan seterusnya bersedia untuk mengikuti aktiviti-aktiviti yang bakal dianjurkan pada masa akan datang.

Sunday, March 20, 2011

[BERITA] Cinta Fotokopi @ BTR


ALAM DAMAI - Pada 16 Mac yang lalu, IKRAMTeens Bandar Tun Razak sekali lagi telah mengadakan satu program "Cinta Fotokopi" sempena cuti sekolah yang bertempat di Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai. Ia merupakan program setengah hari anjuran bersama Masjid Al-Mukhlisin. Seramai 40 orang peserta dari Alam Damai, Bandar Tun Hussein Onn, Bandar Tasik Selatan, Bukit Cheras dan lain-lain telah berjaya melibatkan diri dalam program tersebut. TYDP IKRAM Bandar Tun Razak, Ustaz Zulkifli Ahmad telah memulakan majlis sekitar jam 9 pagi dengan memberi ucapan aluan daripada pihak IKRAM Bandar Tun Razak. Program seterusnya disambung dengan ucapan aluan daripada pihak Masjid Al-Mukhlisin yang telah disampaikan oleh Imam 1, Ustaz Rahimi.


Selesai sesi ucapan, program disambung dengan slot "Cinta Fotokopi" yang telah disampaikan oleh Ketua Unit Sekreteriat Remaja IKRAM Wilayah Persekutuan iaitu Akh Mohd Hafiz bin Abdul Hamid yang lebih dikenali sebagai Abg Bai. Dalam slot tersebut, banyak input yang telah dikongsi oleh Abg Bai bersama dengan para peserta. Para peserta telah dimaklumkan tentang keburukan cinta fotokopi yang hanya berkaitan sesama manusia yang seringkali membawa kebinasaan kepada diri manusia terutama golongan remaja. Mereka juga telah diberikan input yang merupakan antara objektif program ini iaitu cinta yang ori hanyalah cinta Ilahi. Selain itu, para peserta juga diingatkan tentang keburukan dan cara-cara menjauhi zina. Tips-tips untuk menjadi remaja yang dekat dengan Allah juga turut dikongsi oleh Abg Bai sebelum mengakhiri slot tersebut.

Peserta-peserta secara umumnya amat terkesan dengan program ini dan amat menarik kerana diselangseli dengan video klip. Maklumbalas dari penganjur juga positif kerana merasakan masanya amat sesuai untuk memberi pendedahan dan kefahaman seawal usia sebegini. Cinta Fotokopi ini diharapkan dapat dimurnikan lagi supaya dapat disebarluaskan mesej di kalangan remaja di Bandar Tun Razak ini.

Sebelum program berakhir, beberapa hebahan telah dibuat berkaitan program-program yang akan dianjurkan oleh IKRAMTeens Bandar Tun Razak pada masa akan datang seperti Futsal remaja, Usrah remaja dan Remaja Cemerlang bersama Pak Utih.

Program tamat pada jam 12.50 tengahari dengan jamuan makan tengahari

Monday, February 21, 2011

[Berita] IKRAMTeens Bandar Tun Razak Selamat Dilancarkan


ALAM DAMAI - Pada 20 Februari yang lalu, bertempat di Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, IKRAMTeens Bandar Tun Razak telah dilancarkan. Perasmian majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh TYDP IKRAM Bandar Tun Razak, Ustaz Zulkifli Ahmad.

Antara yang paling awal tiba ke Masjid Al-Mukhlisin adalah TYDP IKRAM BTR, Ustaz Zulkifli Ahmad dan juga beberapa AJK IKRAMTeens BTR yang sangat komited.Antaranya Akh Nazeli Jaafar, Ukht Umi Kalthum Hasan dan keluarga, Akh Amri Mansor dan ramai lagi.Turut hadir YDP IKRAM BTR, Hj. Abd Rahman Hussin dan SU IKRAM BTR, Dr.Oteh Maskom. Program dimulakan sekitar jam 11 pagi dengan sesi pendaftaran peserta.Alhamdulillah, sehingga ke akhir program, peserta yang berjaya mendaftarkan diri adalah seramai 40 orang.

Program diteruskan pula kemudiannya dengan sesi ice breaking. Sesi ini dikendalikan oleh Bro Fahzan Adli dan Akh Amri. Dalam sesi ini, para peserta telah diminta untuk membuat kumpulan-kumpulan kecil dan setiap kumpulan akan diberikan satu nilai tertentu. Mereka diminta untuk membuat kumpulan baru berdasarkan jumlah yang ditetapkan. Setelah selesai, para peserta diminta untuk bertaaruf sesama ahli kumpulan masing-masing. Mereka juga diminta untuk mengulang semula butir-butir diri sahabat-sahabat yang lain.

Sekitar jam 12.30 tengahari, program diteruskan pula dengan slot "Happiness" bersama Ketua Unit Sekretariat Remaja IKRAM Wilayah Persekutuan iaitu Akh Mohd Hafiz Abd Hamid atau lebih dikenali dengan nama Abg Bai di kalangan remaja. Antara input-input yang telah dikongsi oleh Abg Bai ialah berkaitan kebahagiaan fizikal, emosi dan juga spiritual. Kebahagiaan juga telah dikaitkan dengan keikhlasan dalam hidup dan juga setiap amalan yang dilakukan. Para peserta juga telah diberikan input berkaitan tugas dan tanggungjawab manusia di muka bumi sebagai hamba dan khalifah Allah.

Pelancaran IKRAMTeens BTR dan montaj IKRAMTeens telah dirasmikan oleh TYDP IKRAM BTR, Ustaz Zulkifli Ahmad. Pengenalan, objektif dan faedah menyertai IKRAMTeens telah disampaikan kepada para peserta melalui montaj IKRAMTeens. Sebelum program berakhir, para peserta dimaklumkan tentang salah satu aktiviti terdekat yang akan dianjurkan oleh IKRAMTeens BTR iaitu perkhemahan untuk remaja putera bertempat di Kingfisher Advanture, Hulu Langat pada 12-13 Mac 2011, inshaAllah. Program tamat pada jam 1.25 petang.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger | Printable Coupons