Saturday, April 9, 2011

[Berita] Remaja Cemerlang Bersama Pak Utih

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

ALAM DAMAI – IKRAMTeens Bandar Tun Razak dengan kerjasama pihak Masjid Al Mukhlisin, Alam Damai telah menganjurkan program Remaja Cemerlang bersama Ahmad Shafiai Uda Jaafar atau lebih dikenali sebagai “Pak Utih” yang berpengalaman lebih daripada 10 tahun. Program ini bermula pada jam 2.00 petang. Seramai 63 orang peserta telah hadir menyertai program ini dari remaja yang berusia 12 tahun hingga 17 tahun.


Program dimulai dengan senaman ringan yang dikendalikan oleh Brother Fahzan bertujuan supaya para peserta merasa 'segar' dan dapat memberikan fokus yang terbaik sepanjang program dijalankan. Pak Utih memulakan slotnya dengan memperkenalkan diri kepada peserta. Dalam waktu yang singkat, para peserta telah menjadi mesra antara satu melalui beberapa permainan yang dikendalikan oleh Pak Utih. Para peserta begitu terhibur dengan lawak jenaka dari Pak Utih.

Seterusnya para peserta dikehendaki menjalani 'ujian kendiri' yang telah disediakan oleh Pak Utih untuk menilai diri mereka. Sebelum itu, Pak Utih telah memberikan penerangan ringkas bagaimana untuk mengisi borang kendiri tersebut kepada para peserta. Disamping itu, para peserta telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan mengikut jantina. Selesai sahaja, Pak Utih memberi penerangan buat setiap peserta berkaitan pekerjaan masa hadapan berpanduan markah ujian yang ditulis pada kertas mahjung. Selepas itu, Pak Utih memberi kaedah serta panduan menjadi Remaja Cemerlang yang sebenar. Sepanjang program ini, banyak klip-klip video digunakan dalam penyampaian Pak Utih bagi memudahkan para peserta memahami setiap perkara yang ingin disampaikan dengan lebih baik.

Lebih kurang jam 4.30 petang, program berhenti rehat buat seketika bagi memberi laluan kepada para peserta untuk menunaikan solat Asar secara berjamaah. Selesai sahaja menunaikan solat Asar, para peserta berkumpul semula untuk mengikuti semula program. Banyak tips-tips bagaimana untuk menjadi remaja yang hebat dan berilmu. Selain itu, Pak Utih turut berkongsi tentang kaedah mengingat serta menyarankan pengambilan vitamin Omega 3 supaya para pelajar lebih berminat untuk membaca buku.

Pak Utih juga telah berkongsi tentang kisah seorang pelajar yang pemalas dan suka memakan makanan ringan. Setelah diberi mengambil vitamin Omega 3, pelajar tersebut mula berubah. Kini pelajar tersebut menjadi seorang yang minat membaca buku dan rajin. Ibu bapa pelajar itu berasa gembira akan perubahan yang berlaku pada anaknya yang sebelum ini seorang yang pemalas.

Masa berlalu begitu pantas. Tanpa disedari program Remaja Cemerlang sudah sampai ke penghujung. Para peserta berasa gembira dengan input-input yang telah disampaikan oleh Pak Utih. Oleh kerana kesuntukan masa, ada beberapa topik yang tidak dapat kongsikan kepada para pelajar antaranya peta minda. Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah penghargaan oleh Pakcik Nazli kepada Pak Utih pada jam 5.30 petang dan kesemua peserta dan tetamu yang hadir dijamu dengan minum petang sebelum bersurai.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger | Printable Coupons