Thursday, March 24, 2011

[Berita] Camping Putera IKRAMTeens BTR



HULU LANGAT, 12 Mac - IKRAMTeens Bandar Tun Razak kerjasama dengan pihak Masjid Al–Mukhlisin, Alam Damai buat julung kalinya telah menganjurkan perkhemahan bertempat di Kingfisher Campsite, Hulu Langat pada tahun ini dengan tema “Ukhwah”. Seramai tiga puluh dua orang peserta lelaki dan tujuh orang fasilitator terlibat dalam perkhemahan selama dua hari satu malam ini. Hari pertama diisi dengan sesi ta’aruf, memasang khemah, jungle treking, obstacles, mandi sungai dan Aspirasi Seni.

Perasmian perkhemahan ini dimulakan dengan ucapan oleh Ustaz Zul yang mewakili Pertubuhan IKRAM Malaysia daerah Bandar Tun Razak, diikuti oleh Ustaz Ibrahim mewakili Masjid Al – Mukhlisin dan Encik Nazli mewakili IKRAM Teens daerah Bandar Tun Razak. Suasana sepi bertukar ceria apabila para peserta mula bermesra antara satu sama lain semasa sesi taaruf dijalankan. Pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya 'biawak buaya', 'pistol angin' dan F1. Peserta mula mengukir senyuman, mesra, ringan tulang dan menegur sesama teman yang baru dikenali antara satu sama lain sebelum pembahagian kumpulan aktiviti dan perkhemahan dijalankan. Permainan biawak buaya dan pistol angin dikendalikan oleh Pak cik Amri manakala permainan F1 dikendalikan oleh Pak cik Nazli yang turut dibantu oleh fasilitator antaranya Faizal, Wasim dan Fahzan.

Sebelum makan tengahari dan solat Zohor berjamaah, para peserta mula berkumpul untuk pembahagian kumpulan seterusnya memasang khemah di tapak perkhemahan yang terletak berhampiran dengan sungai. Mereka diberi masa selama tiga puluh minit. Seterusnya aktiviti yang sangat-sangat dinantikan oleh para peserta telah tiba iaitu jungle treking. Sebelum aktiviti dimulakan, bacaan doa dan taklimat diberikan kepada semua peserta oleh jurulatih Kingfisher yang menjadi jurupandu untuk masuk ke dalam hutan. Tempat pertama yang dituju adalah air terjun setelah melalui kawasan berbukit dan aliran sungai. Sepanjang perjalanan tersebut laungan takbir, bacaan Al Fatihah dan tepuk ukhwah dilakukan bersama bagi mengelak rasa letih. Tiba tempat di kawasan air terjun, setiap kumpulan diberi masa lima minit untuk mandi sebelum pulang ke tapak perkhemahan. Aktiviti obstacles dilakukan dalam perjalanan pulang ke tapak perkhemahan.

Para peserta menunaikan solat Asar berjamaah di padang sejurus tiba di Kingfisher Campsite pada jam lima petang. Kemudian, para peserta dibenarkan untuk mandi sungai aktivit mandi sungai sebelum makan malam. Tepat jam tujuh petang, para peserta mula berkumpul untuk meenunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjamaah di surau bersama peserta Pusat Tahfiz dari Klang yang berkongsi tempat program. Jam sembilan malam peserta mula berkumpul semula disurau untuk aktiviti seterusnya iaitu "Aspirasi Seni". Setiap kumpulan dikehendaki membuat satu persembahan bebas antaranya nasyid dan lakonan yang dikendalikan oleh Pak cik Amri. Aktiviti pada malam itu telah diakhiri dengan persembahan drama oleh fasilitator yang bertajuk "Perhimpunan Syaitan Sedunia" dan permainan binatang kesayangan saya. Selepas itu para peserta menikmati 'supper' yang telah disediakan oleh Ustaz Zul, Ustaz Ibrahim, Brother Wasim, Brother Faizal serta Pak cik Nazli. Pada jam sebelas malam, para peserta diminta untuk tidur.

Keesokkan harinya, semua peserta telah dikejut untuk bangun menunaikan qiamullail dan solat subuh berjamaah. Peserta memberi respon yang positif untuk bangun dan tidak perlu suara tinggi untuk menyedarkan mereka. Qiamullail dan solat Subuh telah diimamkan oleh peserta tahfiz dari Klang. Usai solat subuh, semua peserta berzikir beramai-ramai. Sejurus selepas menunaikan solat Subuh, beberapa permainan indoor telah diadakan. sebelum menjalankan aktiviti mandi sungai, sarapan pagi dan mengemas tapak perkhemahan. Antaranya ialah “Telematch” dan “Chinese Handcuff” yang telah dikendalikan oleh Pak cik Amri manakala permainan “Crossword Puzzle” dan "Ini Kehidupan Kita" telah dikendalikan oleh Pak cik Nazli sehingga jam 10.30 pagi dengan dibantu oleh kesemua fasilator. Selepas bersarapan para peserta dibenarkan untuk mandi sungai dan mengemas tapak perkhemahan sehingga jam 11.30 pagi. Ibu bapa mula datang untuk menjemput para peserta sekitar jam 12.00 tengah hari sehingga jam 1.00 petang. Syukur dan Alhamdullilah, para peserta serta penjaga telah memberi respon yang positif dan seterusnya bersedia untuk mengikuti aktiviti-aktiviti yang bakal dianjurkan pada masa akan datang.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger | Printable Coupons