Ada orang berkata dunia ini ibarat rumput dan akhirat itu ibarat padi. Seandainya kita menanam rumput, hasilnya rumput sahajalah yang akan tumbuh. Tetapi seandainya kita menanam padi, maka yang bakal tumbuh adalah padi dan rumput. Analogi ini sebenarnya mengajak kita untuk melihat kehidupan kita. Apakah sebenarnya matlamat kita hidup di dunia? Adakah kita ingin menjadi penanam padi atau penanam rumput?
Jika difikirkan secara logiknya, ada benarnya analogi ini. Seandainya dalam hidup kita ini, kita telah meletakkan matlamat untuk mencapai kecemerlangan di akhirat, lalu kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya, akhirnya kita bukan sekadar mencapai kecemerlangan di akhirat, malah kita akan mencapai kecemerlangan di dunia juga. Berbeza pula dengan orang yang matlamat hidupnya sekadar ingin mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia, maka itulah yang akan diperolehinya. Mengapa ini berlaku? Ini kerana orang yang mengejar akhirat adalah orang yang sibuk di dunia.
Kata ulama', dunia ini adalah tanam-tanaman untuk akhirat. Apa yang kita tanam, sama ada rumput atau padi, akan kita tuai hasilnya di akhirat nanti. Di sini jelas dapat kita lihat betapa pentingnya dunia dan akhirat. Tanpa adanya dunia, apa yang kita mahu tuai di akhirat? Dan untuk mendapatkan tuaian yang terbaik, kita perlu memastikan tanaman kita di dunia hidup subur, sihat dan baik.
Bagaimana mahu menjadi orang yang sibuk di dunia? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah dengan bagaimana kita melihat dunia ini. Apa yang kita nampak pada dunia ini. What you get is what you see. Apa yang kamu dapat ialah apa yang kamu perolehi.
Maka sahabat-sahabatku, lihatlah dunia ini melalui sudut pandangan yang mencipta dunia ini. Lihatlah dunia ini umpama hamparan sejadah. Apa yang lazimnya dilakukan apabila kita duduk di atas sejadah? Ya, beramal kebaikan. Maka, jika dunia itu umpama hamparan sejadah, maka dunia adalah satu-satunya tempat untuk kita berbuat amal kebaikan sebanyak-banyaknya umpama 'orang akhirat' yang sibuk di dunia demi memastikan dia berjaya mendapat hasil tuaian yang terbaik di akhirat nanti. Wallahu'alam.
0 comments:
Post a Comment