Tuesday, February 22, 2011

[Berita] BEST Siri 1 Berlangsung Dengan Jayanya!!!


TAMAN SRI UKAY - Pada Ahad, 13 Februari yang lalu, bertempat di Sekolah Islam Adni, Taman Sri Ukay, IKRAMTeens Wilayah Persekutuan telah menjayakan program BEST Siri 1 - Maulidurrasul & Valentine Day. Untuk makluman semua pembaca, program ini merupakan program remaja bersiri BEST IKRAMTeens WP pertama yang berjaya dijalankan bagi bulan Februari tahun ini.

Program dimulakan sekitar jam 8 pagi dengan sesi pendaftaran peserta. Alhamdulillah, sehingga ke akhir program, peserta yang berjaya mendaftarkan diri adalah seramai 38 orang. Barisan fasi yang terlibat untuk membantu perjalanan program pula terdiri daripada lepasan SPM yang komited seramai 8 orang. Manakala pengerusi tetap program tidak lain dan tidak bukan merupakan Ketua Unit Sekretariat Remaja IKRAM Wilayah Persekutuan iaitu Akh Mohd Hafiz Abd Hamid atau lebih dikenali dengan nama Abang Bai dalam kalangan remaja.

Tirai program dibuka dengan sesi Ice Breaking yang dikendalikan dengan jayanya oleh Abg Bai. Pelbagai teka teki yang menarik disajikan kepada para peserta sehingga tidak kering gusi dibuatnya. Kemudian, peserta perempuan dibahagikan kepada empat kumpulan manakala peserta lelaki kepada dua kumpulan bersama wakil fasilitator. Mereka dikehendaki untuk bertaaruf sesama ahli kumpulan bersama fasi masing-masing.

Selepas minum pagi, program diteruskan dengan Slot Maulidurrasul oleh Akh Tantawi. Bersempena dengan sambutan Maulidurrasul yang jatuh pada hari sebelum nya, input-input yang diketengahkan juga merupakan sirah Rasulullah yang mampu mengembalikan ingatan peserta terhadap pengorbanan baginda. Pelbagai klip video dan kisah-kisah mengenai Rasulullah telah berjaya menarik minat peserta untuk terus mengabdikan memori perjuangan baginda bersama para sahabat.

Selesai sahaja slot bersama Akh Tantawi, para peserta diminta untuk kembali ke dalam kumpulan masing-masing untuk disajikan pula dengan Slot Valentine’s Day. Program ini direka khas untuk membendung para remaja khususnya peserta daripada menyambut perayaan masyarakat Kristian ini. Peserta didedahkan dengan sejarah kemunculan perayaan ini, keburukan menyambut, dan langkah-langkah untuk menghalang perayaan ni daripada terus disambut umat Islam. Mereka juga diminta untuk membuat sedikit pembentangan hasil perbincangan dalam kumpulan bersama fasi masing-masing.


Sekitar jam 12.30 petang, sebelum program berakhir, para peserta turut dipromosikan dengan program-program IKRAMteens WP terutamanya siri BEST yang akan diadakan sepanjang tahun. Program tamat sekitar jam 1.15 selepas hidangan tengah hari.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger | Printable Coupons