Saturday, April 9, 2011

[Berita] Kem Laskar Pelangi

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

PUTRAJAYA - Alhamdulillah pada 25-27 Mac 2011 yang lalu , pihak IKRAMTeens dengan kerjasama SK Puchong dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin telah menganjurkan kem “Laskar Pelangi” untuk para pelajar tahun 6 SK Puchong. Seramai 82 orang peserta telah menyertainya yang terdiri daripada 42 orang adik-adik lelaki dan 40 orang adik-adik perempuan beserta 13 orang fasilitator. Program ini telah dijalankan di masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya.

Program dimulakan pada hari Jumaat bermula pada jam 9 malam dengan slot 1 iaitu sesi ta’aruf antara peserta dengan para fasilitator di dalam kumpulan. Trademark kumpulan yang mantap juga telah dipersembahkan oleh para peserta. Alhamdulillah, hubungan yang mekar telah terbina meskipun baru sahaja berkenalan. Pada malam itu lagu tema telah dinyanyikan iaitu lagu “Laskar Pelangi”. Para peserta begitu bersemangat ketika menyanyikannya. Kemudiannya para peserta telah dijamu dengan minum malam dan dibenarkan tidur.

Pada hari kedua, pada pagi hari yang dingin, peserta telah disajikan dengan tazkirah yang amat menarik oleh pihak masjid. Selepas bersarapan pagi, slot 2 telah berlangsung. Dalam slot ini peserta dihidangkan dengan tayangan Filem “Laskar Pelangi” selama 2 jam. Selepas kudapan, slot yang ketiga telah dijalankan di dalam kumpulan. Para peserta dikehendaki mem’bedah filem’ tersebut dengan persoalan-persoalan seperti 5 sikap yang baik bagi 3 pelakon utama, 10 pengajaran, watak pilihan dan perkara yang tidak baik yang perlu ditinggalkan. Selesai sahaja sesi perbincangan setiap kumpulan diminta membentangkannya.

Selepas solat Zohor, satu slot yang teramatlah gempak telah dijalankan iaitu Explorace Laskar Pelangi. Terdapat 6 checkpoint telah dijaga oleh para fasilitator. Antara checkpoint yang telah dijalankan ialah Musang Berjanggut, Cina Buta, Susun Puzzle, Bom dan Makan Malam. Pelbagai gelagat para peserta telah dilihat dalam slot ini terutama ketika peserta dikehendaki makan peria. Para peserta kelihatannya begitu menyukai peria tersebut. Walaupun penat kerana berlari-lari tambahan pula kawasan masjid tersebut yang amat luas, tetapi para peserta kelihatan gembira. Tahniah kepada para peserta kerana berjaya menghabiskan kesemua checkpoint yang agak mencabar. Dan sekali lagi lagu tema telah dinyanyikan ketika checkpoint bersama Abg Bai. Dan kenangan makan sayur peria pastinya akan tersemat dalam ingatan para peserta. Selepas solat Asar, para peserta telah dibawa oleh abang-abang dan kakak-kakak fasilitator ke kawasan tasik masjid tersebut. SubhanaAllah, aktiviti-aktiviti telah dijalankan dalam suasana yang nyaman.

Pada sebelah malam, slot yang kelima telah dijalankan. Selepas maghrib satu tazkirah yang menyentuh jiwa telah diberikan oleh Ustaz Zainudin Esin. Pelbagai cerita yang mantap telah beliau utarakan. Selepas itu, slot ini diteruskan oleh Abg Mohd Hafiz bin Abdul Hamid atau lebih mesra di kalangan para peserta dengan panggilan Abg Bai. Slot yang berkisarkan tentang Allah dan Rasul-Nya ini lebih menusuk ke dalam jiwa dan telah membuatkan ramai peserta menitiskan air mata. Selepas solat Isya’ para peserta telah minum malam dan dibenarkan masuk tidur sedikit awal untuk bangun Qiyamullail pada pagi keesokannya.

Pada hari terakhir, selepas solat Subuh secara berjemaah, para peserta diberikan masa untuk mengemas barang, sarapan dan merehatkan diri. Sekitar jam 8.30 pagi, pendaftaran ibu bapa telah bermula. Slot pada pagi itu adalah slot bersama ibu bapa (Cabaran Remaja Masa Kini). Para peserta telah diminta untuk menulis kad untuk ibu bapa dan begitu juga sebaliknya. Suasana syahdu sekali lagi telah mereka lalui pada pagi itu. Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan ucapan daripada Guru Besar SK Puchong, Pn Hjh Faridah Bt Wahada, diikuti dengan ucapan perasmian penutup, dan 15 minit bersama IKRAM. Seterusnya penyampaian sijil, hadiah dan cenderahati telah dilangsungkan. Tahniah kepada peserta terbaik lelaki, Fais Syahmi bin Luvis dan peserta terbaik perempuan, Shareen bt Azuha. Majlis diakhiri dengan jamuan mahabbah dan para peserta dibenarkan pulang selepas solat Zohor secara berjemaah. Syukur dan

Alhamdullilah, para peserta serta penjaga telah memberi respon yang positif dan seterusnya bersedia untuk mengikuti aktiviti-aktiviti yang bakal dianjurkan pada masa akan datang.




0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger | Printable Coupons